Tidak tahu memasak dan mengikat tali kasut. Aku pasti
sembilan puluh sembilan perpuluhan sembilan peratus kau orang semua pastinya
melabelkan aku sebagai anak manja. Aku akui aku mempunyai pelbagai kelemahan
sebagai seorang perempuan namun itu bukanlah tiket buat kaum lelaki melibatkan
aku dalam sebuah permainan mereka. Aku akui aku tak cantik. Aku pendek. Aku
gemuk tapi tak adalah gemuk macam belon. Secara ringkasnya, aku tidak menepati ciri-ciri wanita idaman
yang didamba-damba seorang lelaki.
Wanita mana tidak mahu dicinta. Aku akui aku punya
perasaan seperti itu namun itu semua cerita lama. Kini, aku kuatkan hati untuk
hidup sebagai seorang wanita yang mampu hidup tanpa cinta. Wanita yang kalis
cinta kerana sesungguhnya bagi aku cinta umpama memperjudikan hatiku untuk
disakiti. Aku hari ini ialah aku yang mampu bangun sendiri ketika jatuh. Aku
yang mampu tersenyum kala hati sedang gusar. Apa yang pasti aku hari ini
tidaklah selemah dahulu. Keadaan yang telah mengubah aku tiga ratus enam puluh
darjah.
Azam aku adalah untuk menjadi seorang wanita.
Dahulunya aku seorang budak perempuan. Aku lemah. Aku selalu sahaja menitiskan
air mata. Hati aku terlalu mudah disentuh. Aku sering kali mengeluh dan
berputus asa ketika aku dalam kesusahan. Kenapa aku pilih untuk jadi wanita?
Aku mahu jadi wanita berkarisma. Aku mahu jadi wanita yang gagah. Aku mahu jadi
wanita yang kebal. Aku bermula dengan
mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Aku bermula dengan membina kekuatan dari
tangisan yang aku sembunyikan dari umum. Aku cuba atasi kelemahan demi
kelemahan. Sehingga kini ada tiga kelemahan yang tidak mampu aku atasi.
Mengikat tali kasut, wordsearch,
memasak.
Orang kata sukar untuk kita mengatasi kelemahan pada
diri tanpa bantuan orang lain namun aku tidak akan sesekali meminta bantuan
daripada orang lain kerana sesungguhnya aku ingin bangun sendiri. Selagi aku
masih punya masa selagi itulah akan aku berusaha melawan fitrah manusia. Fitrah
manusia yang punya banyak kelemahan. Aku sering menonton video masakan di
Youtube. Aku ambil resepinya dan aku cuba persatu resepi. Setiap pagi aku akan
menghabiskan sekurang-kurangnya sepuluh minit untuk mengikat tali kasut. Kalau
orang lain pastinya menghabiskan masa untuk menghias diri namun itu bukan aku.
Aku cuba mencari perkataan dalam beratus-ratus huruf. Meskipun perkara tersebut
berakhir dengan denyutan di kepalaku, aku akan selalu mencuba dan aku tidak
akan pernah berhenti. Aku yakin suatu hari nanti mata kasarku tak akan lagi
melihat huruf-huruf tersebut bergerak-gerak ke sana sini. Aku akan mampu menghentikan
mereka dan dapat aku melihat perkataan yang mereka bawa lari.
Penampilan. Pastinya aku selalu cuba untuk
memperbaiki penampilan aku. Daripada seorang budak hingusan yang comot aku kini
menjadi seorang wanita yang orang kata tak cantik tetapi sedap mata memandang.
Aku belajar mengemaskan rambutku. Aku belajar untuk menempek bedak pada
wajahku. Aku belajar mencalit gincu pada bibirku. Aku belajar untuk mengenakan
losyen pada tubuhku. Aku belajar memakai minyak wangi meskipun kerap kali
berakhir dengan bersin kerana aku punya hidung alah dengan wangian. Namun
akhirnya aku menemukan satu wangian yang hidung aku boleh terima baunya. Aku
menahan diriku daripada makan nasi selama berbulan-bulan hanya untuk mencapai
berat badan yang ideal. Sesungguhnya aku secara total berubah dari segi
penampilan.
Lelaki. Aku lebih suka sekadar membina persahabatan
dengan lelaki berbanding perempuan kerana bagi aku lelaki tak banyak hal macam
perempuan. Kenapa aku cakap perempuan banyak hal? Ini kerana aku kerap kali
membeli persahabatan dengan kelebihan yang aku miliki dengan insan bergelar
perempuan tanpa aku sedar. Mereka ad di sisi aku ketika aku di puncak dan tak
seorang pun bersama aku kala aku jatuh tersembam. Namun tak semua perempuan di
muka bumi ini bersikap sedemikian. Kalau lelaki, pastinya mereka selalu ada masa
aku senang dan masa aku susah. Walaupun aku berkawan dengan lelaki-lelaki yang
umum label sebagai liar dan jahat, ketahuilah bahawa mereka bukan begitu. Ada
bahagian yang aku kira lagi suci daripada orang yang melabel dalam hati mereka.
Konsert tidak semestinya jahat. Lepak tidak
semestinya dadah. Tidak sekolah tak semestinya pemalas. Lari dari keluarga tak
semestinya liar. Hakikatnya golongan seperti mereka punya seribu satu rahsia
tak terlihat dek mata kasar manusia. Mereka sentiasa melindungi aku dari segala
macam keburukan. Kasih sayang dan nilai persahabatan antara mereka ternyata
lebih hebat daripada anda yang menghukum. Ternyata insan yang menghukum lagi
jalang daripada insan yang dihukum. Luaran menjadi tiket untuk manusia malabel
sewenang-wenangnya. Wahai manusia, janganlah kamu memandang luaran sebaliknya
perhatilah dahulu dalaman sebelum menghukum.
Cinta. Aku kerap kali gagal dalam percintaan. Kenapa?
Mungkin kerana aku begitu bodoh hingga tidak sedar bahawa aku hanyalah bahan
mainan buat lelaki. Aku buta dalam melihat bahawa aku hanya bahan ketawa buat
mereka. Tiga kali aku terlibat dalam percintaan yang dijalin sang lelaki
samata-mata untuk pertaruhan sesama mereka. Wahai hati, betapa murahnya engkau.
Cerita cinta aku tidak terhenti sampai situ sahaja. Ada kisah yang aku kira
menjadikan aku sekarang. Lelaki itu penuh dengan lemah lembut dalam tutur
bicaranya. Senyumnya manis menenangkan hati aku. Perilakunya buat aku rasa
selamat bersama. Serak basah suaranya menggetarkan aku. Gaduh kami mengukir
senyum di kala sepi. Sesungguhnya dia sempurna.
Kenangan demi kenangan dia ukir bersama aku. Mana
mungkin aku lupa tangisannya kala kehilangan atuknya. Mana mungkin aku lupa
bebelannya kala aku sakit. Mana mungkin aku lupa reaksinya masuk ke dalam zoo
buat kali pertama. Dan mana mungkin aku lupa cerita terakhir yang menjadikan
aku tidak bernafsu untuk bercinta.
Dia janji untuk menonton wayang bersamaku. Bagai lembu
dicucuk hidung aku membeli tiket wayang awal-awal. Aku tunggu dia depan wayang
hampir sejam. Aku segera capai telefon bimbitku yang berbunyi. Itu panggilan
dari dia. Dia minta aku untuk turun ke taman. Seperti biasa aku turut sahaja.
Tiba sahaja alangkah sakit rasanya melihat kemesraan dia bersama seorang gadis
cantik. Persis model. Aku cuba sedapkan hati dengan beranggapan wanita cantik
itu saudaranya yang ingin dia kenalkan kepada aku. Aku mendekati mereka.
Selangkah di hadapan mereka, mereka diam beberapa ketika. Wanita cantik itu
berjalan-jalan mengelilingiku. Dia lihat aku atas bawah. Dia rentap bahuku dan
tolak aku ke dalam kolam buatan manusia. Dia hina aku sampai satu dunia
memerhati. Mereka tinggal aku. Lelaki itu menghilang tanpa sebarang kata. Sadis
bukan? Jadi jangan pelik bila aku cakap aku tidak bernafsu untuk bercinta.
Apa-apapun terima kasih Tuhan kerana perkara itulah aku nekad untuk memperbaiki
diriku.
Dugaan. Kadangkala aku persoalkan pada Tuhan. Kenapa
semakin aku cuba untuk jadi baik semakin banya dugaan hebat engkau lempar.Tak
henti-henti kau duga aku . Kadang-kadang aku fikir untuk tinggalkan engkau tapi
engkau selalu tarik aku. Engkau buat aku rasional. Engkau buat aku fikir bahawa
engkau duga aku kerana engkau sayang aku. Tak mengapalah all is well kan. Dugaan aku bermula sejak aku kecil lagi. Aku tak
pernah merasa kasih sayang keluarga. Aku bukan sahaja dipinggirkan oleh
teman-teman sekolahku malahan aku turut dipinggirkan keluarga sendiri. Kenapa?
Biarlah rahsia. Rahsia antara aku, ayah, ibu dan Tuhan.
Ibu tak pernah bagi aku pilihan sepanjang hidup aku.
Mahu tidak mahu aku turut sahaja semua kemahuannya dengan harapan aku mampu
memuaskan hatinya. Aku belajar separuh mati. Aku belajar meskipun tak ada
minat. Aku simpan dalam dalam sakit yang dicipta mereka dengan harapan mereka
akan menerimaku. Aku selalu rasa seorang tapi lama kelamaan aku rasa aku ada
tuhan. Buat kali pertama dalam hidupku, aku bertegas ikut kemahuan aku. Kalau
sebelum ini aku ikut kemahuan aku setelah diberi tekanan oleh ibu aku kembali
menurut kemahuannya, kali ini aku nekad untuk pilih jalan sendiri. Tuhan
maafkan aku. Aku harap engkau masih terima aku walaupun ibu panggil aku anak
derhaka. Jangan akhiri cerita aku macam kisah Si Tanggang. Ibu buang aku jauh
dari keluarga sehingga aku terpaksa mengemis kasih keluarga daripada adik dan
abang ibu. Aku masih senyum. Aku masih gembira. Tapi tahukah kalian hati aku
saban hari menangis. Aku tetap teruskan pilihan aku. Egokah aku? Mungkin ya
tetapi aku tidak akan sesekali menyesali pilihan aku.
Dugaan datang lagi. Aku disahkan menghidap ITP kronik
setelah ujian Bone Marrow Aspiration. Sakitnya, ya Allah tak mampu aku
ungkapkan dengan kata-kata. Aku redha. Mungkin ini mampu menghapuskan sedikit
demi sedikit dosa yang aku buat terhadap ibu. Aku cuba biasakan diri meskipun
pada awalnya agak sukar. Aku cuba tidak bergantung pada orang lain. Aku pergi
hospital menaiki bas sendiri. Pulang juga begitu. Aku tahan sakit dengan
senyuman.
Aku cuba buat
bajet 2015. Mana mungkin cukup duit biasiswa aku. Untuk yuran pengajian. Untuk
makan minumku. Untuk ubat-ubatku. Untuk platlet yang terpaksa aku beli setiap
bulan. Mujur ayah beri kembali tabungan aku semasa aku bekerja dahulu setelah
aku desak ibu bahawa aku tidak akan sesekali meminta sesen daripadanya jika
wang itu dia serahkan. Sedikit sebanyak itu mampu membantuku. Tidak cukup
dengan itu, aku menulis artikel, puisi dan cerpen untuk majalah Dewan Siswa,
Dewan Masyarakat dan banyak lagi. Ada rezeki karya aku terpilih, aku peroleh sedikit
imbuhan. Alhamdulillah. Tuhan masih sayang aku.
Bila orang tanya,apa impian aku kelak? Aku akan
jawab, aku mahu jadi insan berguna kepada semua orang meskipan jasad tak lagi
ada. Adakah aku mahu bina tugu berupa replika aku? Adakah aku ingin menjadi
orang terkenal yang pastinya meninggalkan nama bila mati? Semestinya tidak
kerana aku cuma orang biasa. Aku tinggalkan cerita-cerita aku. Biar orang baca.
Harapan aku, setiap karya aku mampu dirasai dan memberi sedikit manfaat kepada
pembaca.
No comments:
Post a Comment