Tuesday, April 28, 2015

My Love From another Star ( Bab 3)

“ Zira… ”  Razif mendekati isterinya yang sedang menangis di meja solek .
“ Maafkan abang…Kenapa buat adik macam tu. Sebelum ni Zira tak ada pulak macam tu. ” Nazirah Aisya memandang tepat ke wajah suaminya. Tajam. Wajahnya penuh dengan dendam dan kebencian. Razif mencapai tangan isterinya bertujuan untuk meredakan kedinginan antara mereka namun Nazirah Aisya merentap kasar  tangannya.
“ Abang cakap kenapa? Kenapa?! Sebab dia dah tau benda betul lah saya tak payah nak berlakon macam ibu kandung dia. Saya dah penat. Saya dah tak tahan menahan rasa sakit. Tiap kali saya tengok muka dia saya teringat macam mana sakitnya bila saya tau abang dah khianati saya. ”
Razif meraup wajahnya. Rambutnya nampak kusut sedikit persis kekusutan yang melanda hari ini.
“ Zira… Itu benda lama. Tak payah lah Zira simpan dendam lagi. Kalau Zira nak marah sekalipun, marah abang bukan adik. Dia tak tau apa-apa pun Zira. Cuba awak bayangkan kalau awak kat tempat dia. ”
“Apa?! Bayangkan saya kat tempat dia?! Pernah ke abang bayangkan kalau abang kat tempat saya? Pernah? ”
“ Maafkan abang ” Razif tertunduk lemah. Dia mengerti bahawa isterinya masih menyimpan rasa marah terhadapnya meskipun perkara itu telah berlaku bertahun-tahun lamanya. Bukan dia pinta untuk jadi begitu. Perkahwinannya dengan Aina Hannan sungguh tidak dirancang. Setelah sah dia bergelar suami kepada Nazirah Aisya, takdir menemukan dia dengan cinta pertamanya, Aina Hannan. Dia tidak mampu menyangkal perasaan cintanya yang masih tebal terhadap Aina Hanna lebih-lebih lagi apabila dia mengetahui bahawa Aina Hannan sedang menderita penyakit leukemia dan tak mampu  hidup lama. Sewaktu dia mengetahui kebenaran itu, baru dia mengerti sebab utama wanita itu meninggalkannya secara tiba-tiba sewaktu mereka menjalinkan hubungan cinta. Tanpa berfikir panjang, Razif telah mengambil keputusan untuk menikahi cinta pertamanya tanpa pengetahuan isterinya, Nazirah Aisya. Dengan kuasa dan takdir Tuhan, Aina Hannan disahkan mengandung sebaik sahaja Nazirah Aisya melahirkan anak sulungnya.  Sesungguhnya ini semua perancangan Allah. Jodoh dan rezeki yang telah dia tentukan.
“ Maaf? Senangnya abang cakap maaf. Abang tak tau yang saya terluka. Sampai hari ni bang, saya masih rasa sakit tu. Rasa sakit tu semakin bertambah tiap kali saya tengok muka anak abang dengan perempuan tu. Saya tau adik tak bersalah tapi saya tak boleh tipu diri saya. Saya benci dia! ”
                                                                                   *****
“ Kakak… Jaga adik tau. Nanti waktu rehat kakak rehat sama-sama dengan adik ya.” Ayah berpesan kepada kakak sebaik sahaja kakak mencium tangan ayah.
“ Adik… Belajar betul-betul tau kat sekolah baru ni. Adik jadi murid yang baik. Belajar pandai-pandai. Kalau ada apa-apa nanti bagitau kakak ya. ”
Giliran aku pula menerima pesanan dari ayah. Aku mencium tangan ayah seperti kakak. Tidak sabar rasanya mahu masuk ke kelas dan dapat kawan-kawan baharu. Impian untuk aku bersekolah di sekolah bandar ternyata sudah tercapai. Aku memulakan hari pertama aku di sekolah baharu dengan senyuman. Kakak memimpin aku masuk ke sekolah.
“ Hai korang, ni adik aku Arisa Sofea. ” Kakak mengenalkan aku kepada kawan-kawan sekelasnya.
“ Hai Fira! Oh ni lah adik kau yang kau cakap dia duduk dengan nenek kau tu ya? ”
“ Haah.”
“ Oh hai sapa nama tadi? ”
“ Arisa Sofea. Panggil Arisa je. ”
“ Hai Arisa! ”
“ Hai…” Aku menghulurkan senyum manis kepada kawan kakak. Seronoknya dapat kawan baharu.
“ Urmmm… Adik jomlah kakak bawak adik masuk kelas. Kejap lagi loceng bunyi ni. Azim nanti kita jumpa kat kelas. Aku nak hantar adik aku dulu ni. ”
Azim! Nama kawan kakak tadi tu Azim lah agaknya. Dah kakak panggil dia dengan nama Azim. Aku tersenyum. Handsome jugak kawan kakak tu. Tak sangka ramai budak-budak lelaki yang handsome kat sekolah bandar ni. Sukanya aku dengan sekolah baharu ni. Sekolah baru. Azam baru kononnya.
                                                                       ******
“ Adik macam mana tadi kat sekolah?”
“ Best sangat ayah sekolah baru. Cikgu baik sangat. Ajar adik satu-satu yang adik tak faham tu. Kawan-kawan pun baik je. Kawan-kawan kakak pun baik dengan adik. ”
Aku tersenyum. Lebar sampai ke telinga gamaknya.
“ Amboi semangatnya cerita dengan ayah. Alhamduillah kalau semuanya okey. Adik belajar rajin-rajin tau. Jadi budak pandai. ”
“Okey ayah! Adik janji adik akan jadi budak pandai. Adik akan belajar je. ”
Aku tersengih memandang ayah. Aku memulakan latihan membaca yang diajarkan oleh Cikgu Aklima di sekolah tadi. Satu persatu aku mengeja suku kata. Aku lakukan latihan membaca dengan bersungguh-sungguh.
“ Ehem… Orang lain umur sepuluh tahun dah tau buat karangan, kau baru nak start belajar membaca ke? ”
Entah dari mana datangnya suara mama. Sinis sahaja nada suaranya. Terasa aku dengan sindiran sinisnya namun aku abaikan sahaja. Ayah pula tertunduk diam apabila mama menyindirku sebegitu rupa. Langsung tidak menyebelahi atau menyokong aku. Ayah hanya megulum senyum kelat kepadaku. Apa lah nasib wahai badan. Aku kuatkan hatiku. Aku kebalkan telinga dengan kata-kata nista. Aku teruskan lagi latihan membaca aku dengan gigih sambil ditemani manik-manik jernih. Tuhan tolong buat aku tahu baca. Biar mama tahu aku juga boleh jadi pandai. Biar dia suka aku. Biar aku jadi anak yang dia banggakan.
“ Adik… Dah pukul sebelas ni. Esok sekolah kan. Kakak pun dah tidur. Nanti esok susah nak bangun. ”
“ Em… Nantilah. Tak ngantuk lagi. ”
“ Adik nangis ya? ”
“ Tak adalah. ”
“ Ayah tau adik nangis kan. Terasa dengan mama kan. ”
Aku mengangguk lemah. Tanpa aku sedari tangisan yang sudah reda tadinya lebat kembali. Ayah meletakkan surat khabar yang dia baca tadi dan bangun mendekati aku. Aku dia peluk aku.
“ Sabar ya sayang. Adik kena sabar dengan mama. Ayah tak mampu nak buat apa-apa. Semua salah ayah. Insya-Allah kalau adik sabar dan selalu doa yang baik-baik untuk mama, satu hari nanti dia boleh terima adik. Kita sama-sama doa ya. ”
Aku pandang ayah dengan tangisan yang masih bersisa.  Aku lihat air mata ayah mengalir. Sayu. Sungguh aku tak pernah nampak ayah menangis.
“Ayah… Mama kandung adik tu jahat sangat ke sampai mama tak boleh terima adik. ”
Tersedu-sedu aku mengeluarkan kata. Pelukan ayah semakin erat.
“ Tak sayang mama kandung adik baik sangat. Dia orang yang paling baik pernah ayah jumpa. Tak ada satu kekurangan pun bagi ayah. Dia sempurna. Yang salah tu ayah bukan dia. Dia yang dihukum dengan kesalahan yang ayah buat.”
Manik jernih mengalir lagin dari tubir mata ayah. Aku tak mampu berkata apa-apa. Dengar sahaja cerita ayah aku tahu ibu kandungku seorang yang sangat baik. Ya Allah semoga dia tenang di sana. Sungguh aku merinduinya. Aku rindu terhadap insan yang hanya aku kenal nama dan statusnya.
“ Nanti ayah cerita lagi tentang mama kandung adik ya. Tapi bukan sekarang. Sekarang adik kena masuk tidur dulu. ”
Aku mengangguk lemah. Aku kemas buku-buku dan alat tulisku. Aku salam ayah dan masuk ke bilik. Aku cuba baring dan tidur namun mataku tidak mahu tidur. Aku capai buku dan aku mulakan lagi latihan membaca yang tadinya terhenti.
“ Dah kenapa terang lampu bilik ni. Tak tau nak tutup lampu. Membazir tau tak?! ”

Terkejut juga aku apabila mama tiba-tiba sahaja masuk ke dalam bilikku dan memaraahi aku. Tanpa sempat aku berkata apa-apa, lampu bilik sudah dipadamkan dan kedengaran bunyi hempasan pintu. Gelap. Aku cuba lagi untuk tidur namun mataku tetap degil. Aku bangun perlahan-lahan aku menuju ke meja di sebelah katilku. Aku buka laci mejaku dan aku capai lampu suluh kecil. Aku buka lampu tersebut dan menuju ke katil. Aku mulakan lagi bacaan yang kali kedua terganggu. Bersungguh-sungguh aku belajar membaca dengan harapan aku jadi budak pandai esok harinya. Amin!

'Penantian'

Saat sendiri,
Mata ku pejam,
Tak lagi terlihat bumi yang ku pijak,
Memori ku atur kembali ke suatu ketika.

Ketika yang penuh dengan warna,
Tiap detik tak pernah ku lupa,
Tiap saat mampu mengukir senyumku.

Kuat memori mengingat,
Senyumannya,
Perilakunya,
Segala tentang dirinya.

Gurau senda tak pernah ku lupa,
Serak suaramu masih bisa meruntun jiwa,
Pujukanmu umpama air buat api yang lagi marak,
Janji-janjimu masih utuh dalam genggaman.

Bila mata tak lagi ku pejam,
Bumi kembali ku pijak,
Memori ku panggil,
Biar hidup di bumi yang nyata,
Biar nyah segala tentang dirinya,
Namun tak pernah sekalipun aku mampu.

Hati tak menurut desakan,
Terus sahaja memutar memori,
Memori yang ternyata tinggal kenangan,
Sering sahaja hati menolak untuk memadamnya,
Menolak untuk melakar kenangan baharu,
Terus memilih untuk hidup dalam hitam putih.

Biar pedih bagai ditusuk,
Biar tangis temani hari,
Biar luka terus berdarah,
Biar hidup dalam kenangan,
Jasad dan hati akan teguh,
Dalam sebuah penantian,
Kerana cinta tak pernah mati dek hinaan,

Tak pernah pudar dek suram yang kian mencengkam. 

Friday, April 24, 2015

My Love From Another Star ( Bab 2)

“ Adik jom lah  main sama-sama dengan kakak. Kita main Barbie jom. Kakak ada banyak Barbie. Baju dia pun ada banyak. Nanti kita main tukar tukar baju dia. ”
Walaupun aku agak keberatan dengan ajakan kakak, aku turuti sahaja kemahuannya. Maklumlah aku bukan minat main anak patung ni. Minat aku lebih kepada lego. Bagilah aku banyak mana sekalipun,tak pernah sekali aku katakana tidak atau aku bosan.
“ Ha ni adik punya… Ni kakak punya… Adik punya yang rambut panjang. Sama macam rambut adik. Kakak punya pulak yang rambut pendek. Sama kan macam rambut kakak. ”
Aku mengiakan sahaja. Agak janggal sebenarnya aku bermain anak patung. Tak tahu nak buat apa. Kalau lego ada lah kerja nak siapkan kepingan-kepingan lego membentuk satu replika. Ini pula patung, apa nak buat pun aku tak tahu. Sekadar berpura-pura menggerakkannya dan bercakap buat patung tersebut. Bosan sungguh!
“ Kakak sini mama keringkan rambut tu.” Apa ni dengan basah-basah dah sibuk main patung. ”
Kakak terus mendekati mama. Mengambil posisi membelakangkan mama untuk dikeringkan dan disikat rambutnya. Aku hanya menjadi pemerhati setia. Aku lihat lembut jari-jemari mama membelai-belai rambut kakak. Sungguh aku ingin sekali diperlakukan sebegitu oleh mama. Walaupun dia bukan ibu kandungku namun dia yang aku lihat dari aku kecil dan aku anggap seperti ibu kandungku sendiri. Dia tetap ibu bagi aku dunia akhirat walaupun aku tahu dia tak pernah menyukai aku. Sayu sekali rasa hati apabila mengenangkan nasib diriku. Aku tak pernah melihat wajah ibuku, hanya gambar yang aku tatap. Itupun sewaktu kebenaran tersingkap. Aku tak pernah merasa susu ibu. Aku tak pernah mendengar suaranya. Aku tak pernah merasa belaian kasih sayang seorang insan bergelar ibu.
“ Adik. Kenapa diam je. Mainlah dulu. ”
Khayalan aku dikejutkan dengan sapaan kakak. Aku mengukir senyum dan berpura-pura sibuk bermain padahal aku seperti tidak sedar apa yang aku buat.
“ Mama… Rambut adik pun basah tu. Mama sikatkan lah juga. Haa… Mama ikatkan macam rambut Barbie tu sekali. Biar adik sama macam Barbie. ”
Kakak tersenyum. Manis. Bahagianya aku merasa kasih sayang seorang insan bergelar kakak walaupun aku tahu aku sekadar saudara tirinya. Apa-apapun dia tetap darah dagingku. Wajah mama kelat. Tangannya kaku. Rambut kakak tidak dielus-elus lagi.
“ Mama nak pergi dapur lah kakak. Sediakan makanan. Dia dah besar panjang kan tahu lah dia buat sendiri. ”
Mama bangun dan berlalu pergi. Aku mengukir senyum. Sesungguhnya hati aku menangis. Aku simpan rasa sakit itu jauh di lubuk hati. Tak mahu aku menyimpan dendam.
“ Jomlah adik kita main lagi. ”
“ Adik tak reti nak ikat rambut tu ke? Rimas tau tak mama tengok. Ha.. Tengok ni kan dah ada rambut adik dalam lauk ni. Pantang betul aku. Daripada sedap jadi tak sedap tau tak rambut ni. ”
Aku tunduk apabila mama mula naik angin.
“ Adik tak tau ikat rambut. ”
“ Oh.. Tak tau ikat rambut. Memang bebal kan kau ni. Mana tak dapat nombor corot, ikat rambut pun tak tau. Apa benda yang kau tau. Main je kau tau kan. Kejap ya mama sikatkan sayang. ”
Mama bangun menuju ke dapur. Tak lama kemudian, mama keluar dengan sesuatu dalam genggamannya. Dia mendekati aku.
“ Bangun!!! ”
Tersentak aku dengan jeritan mama. Tanpa berlengah aku segera bangun. Mama tarik rambut aku dan seret aku agak jauh dari meja makan. Dia rentap rambut aku sekuat hati. Air mata sudah mula membasahi pipi. Apa daya aku ingin menentang. Aku semakin rasa tidak sedap hati apabila melihat gunting di tangan mama. Aku cuba cakap jangan mama tampar pipiku. Dengan rakus mama potong rambutku. Entah macam mana rupa aku nanti. Kakak cuba membantu namun setelah ditengking kakak hanya mampu melihat dengan tangisan.
“ Kau tau tak, dah lama aku rasa nak potong potong rambut kau ni. Kalau boleh aku nak buang semua yang ada dengan kau. Aku tak suka! Dahl ah lembab,bodoh,manja. Sebiji macam mak kau. Silap-silap bila kau besar kau pun jadi perampas macam dia. Sebelum kau jadi macam dia aku kena didik kau dulu. Faham! ”
Pedihnya hati apabbila dimaki hamun. Bukan aku minta untuk jadi bodoh. Ingin sahaja aku menjerit sekuat hati. Allah kenapa aku diperlakukan seperti ni. Mana engkau. Kenapa kau tak tolong aku. Ayah cakap kalau aku sembahyang aku doa,kau akan tolong aku kalau aku susah. Tapi mana kau Allah. Aku menangis semahu-mahunya.
“ Zira!!! Apa Zira buat ni! ”
Aku dengar suara ayah dari pintu hadapan rumah. Mama berhenti memotong rambutku. Aku terduduk dek penat menanangis. Kakak mendekati aku. Dia peluk aku.
“ Saya buat apa? Abang tak nampak ke ni saya tengah potong rambut anak kesayangan abang ni. Kan dia tak tau ikat rambut jadi saya nak potong lah. Tak payah susah-susah dia nak ikat rambut. ”
Ayah mendekati mama. Merah padam mukanya menahan marah.
“ Bukan macam ni caranya Nazirah Aisya!!! ”
Aku terkejut dengan tengkingan ayah. Kakak juga. Apatah lagi mama yang berada dekat dengan ayah.
“ Abang tengking saya??? Amboi dah berani tengking saya? Abang tak ingat ke apa abang dah buat. Apa janji abang lepas saya tau abang khianati saya? Abang tak ingat ke?!!! ”
Kali ini giliran mama meninggikan suara. Dia mengangis. Ayah tertunduk.
“ Maaf sayang… Abang tak sengaja. ”
Ayah menarik tangan mama. Mama merentap tangannya dan berlalu menuju ke biliknya. Ayah biarkan saja mama berlalu pergi dan dia mendekati aku. Dia tarik aku dalam pelukannya. Aku membalas erat. Air mata semakin deras menemani aku.
“ Ayah adik nak balik rumah mak tua. Adik tak nak duduk sini. Sini bukan tempat adik. ”
“ Jangan sayang… Adik kena ada dnegan ayah. Ayah nak jaga adik. Dah bertahun-tahun ayah lari dari tanggungjawab. ”
Ayah memujukku. Lembut.
“ Untuk apa adik duduk kat sini kalau untuk dihina. Adik nak balik!!! ”
Aku mula tercungap-cungap. Tersekat-sekat pernafasanku. Penglihatan aku mulai kabur.
“ Kakak! Ambil inhaler adik dalam bilik cepat! Adik semput ni.”
Kakak segera berlari menuju ke bilikku.
“ Adik nak balik rumah mak tua. ”
“ Ye sayang. Nanti ayah  hantar adik balik. Jangan cakap apa-apa dulu sekarang. Adik semput ni. ”
“ A…a…dik nak jumpa Aina Hannan. ”

Aku lihat wajah ayah semakin sayu sebaik sahaja aku menuturkan nama itu. Air matanya jatuh mengenai pipiku. Ibu… Seandainya engkau masih ada, aku yakin engkau takkan biar aku diperlaku sebegini. Engkau akan jadi pelindung. Engkau akan jadi malaikat aku. Malaikat pelindung aku. Ibu!

Sunday, April 19, 2015

' Kasih Terlerai '

   “ Mama! Ana nak yang tu…”
 Jerit seorang anak gadis kecil yang menggelarkan dirinya Ana sambil mulutnya dimuncungkan dengan kakinya dihentak-hentakkan di atas lantai. Keletah manja tersebut menggamit aku menyaksikannya. Suka benar aku melihat anak-anak dimanja bonda dan ayahanda hinggakan kadangkala aku dapat merasakan bahawa akulah insan yang dimanja. Bibirku mengukir senyum tatkala bonda anak gadis tersebut memandang aku. Dia membalas senyumku. Syahdu rasanya. Rasa rindu kepada bonda yang tak pernah aku lihat apatah lagi kenal mula mengusik jiwaku. Sebak yang aku rasa membuatkn air mata mula bertakung di korneaku.
“ Mama!!! Dengar tak Ana cakap ni…Mama sibuk tengok sana tu kenapa!!! ”
Aku lihat anak gadis tersebut membentak-bentak bondanya gara-gara bondanya tidak menuruti kemahuannya. Bonda kepada anak gadis tersebut sedikit kaget dan menuruti kehendak anak gadisnya. Mampu aku rasakan kasih sayang seorang ibu. ‘ Kalau aku berada di tempat saudari, tidak sekali aku menyakiti hati seorang insan yang bergelar ibu ’. Sempat lagi aku bermonolog  menyaksikan peristiwa ini. Sesungguhnya aku rindukan bonda.
Langkah kembali ku atur tanpa tujuan. Bahang sang mentari semakin mencucuk-cucuk. Tekak terasa kering sekali. Perut mula berkeroncong. Mahu sahaja aku beli makanan namun sesen pun aku tidak punya. Rasa menyesal pula aku lari dari teratak Qaseh Suci yang selama ini menjadi tempat aku berlindung dan tempat aku menumpang kasih wanita mulia yang aku panggil umi. Teratak Qaseh Suci banyak berbudi kepadaku meskipun terlalu banyak kenangan pahit tersimpan di sana. Terlalu banyak hingga tidak mampu aku telan lagi dan perkara tersebut menjadi sebab utama aku meninggalkannya.
                                                                             ******
          “ Umi!!! Kami semua tidak mahu berkongsi makanan dengan Anis. Jijik! Nanti berjangkit pula penyakit dia dengan kami semua. ”
Demikianlah cacian yang acap kali aku terima daripada teman-temanku di teratak Qaseh Suci yang aku kira mereka bukan sahaja teman namun keluarga buat insan sepertiku. Hati sudah kebal dengan  hinaan. Mulut sudah bisu hendak mempertahankan diri. Air mata sudah kering hendak dititiskan.
Pada awalnya sebelum mereka semua mengetahui bahawa aku menghidap penyakit A.I.D.S. ,kami bagaikan isi dengan kuku. Berkongsi segala-galanya. Makan, minum, tidur, dan juga cerita. Hidup bergantung antara satu sama lain memandangkan kami semua senasib. Tidak punya keluarga dan dibuang keluarga. Kami sama-sama berkongsi kasih umi dan walid . Umi dan walid umpama ibu dan ayah kandung kami. Kasih yang dicurah tidak pernah berbelah bagi. Mereka dua insan berhati mulia. Mereka sanggup mengambil kami semua untuk tinggal bersama dan dilayan seperti keluarga sendiri. Kami diberi didikan agama dan duniawi secukupnya meskipun kadangkala mereka terpaksa menebalkan muka untuk meminta bantuan agensi kerajaan dan swasta untuk menyara kami semua.
Hari itu telah mengubah segala-galanya. Hari yang membuatkan aku tahu tahu mana asal-usulku. Hari di mana bermulanya detik suram dalam hidupku dan hari yang takkan mampu aku lupakan.
“ Umi!!! Walid!!! Anis jatuh tangga! Kepala Anis berdarah…. ” Jerit Fira setelah melihat kepalaku berlumuran darah setelah terjatuh. Semua teman-temanku mendekatiku. Semuanya kelihatan risau dengan keadaanku. Fira pula panik dan mengelap darah di kepalaku dengan bajunya namun darah semakin banyak keluar. Umi dan walid tergopoh-gopoh berlari mendekati aku. Aku lihat umi segera menarik teman-temanku yang lain untuk menjauhiku. Kit pertolongan cemas yang tergantung pada dinding segera umi capai. Sepasang sarung tangan  diserahkan kepada walid untuk dipakai. Umi nampak panik.
“ Fira!!! Buka baju tu sekarang dan pergi mandi sekarang.Yang lain juga mandi sekarang!!! ”
Jerit umi kepada teman-temanku yang lain sambil tangannya terketar-ketar mengenakan sarung tangan. Mereka terkedu kerana inilah kali pertama umi meninggikan suaranya. Dalam terpaksa aku lihat teman-temanku yang lain menjauhiku. Khuatir umi marah lagi gamaknya. Aku juga hairan dengan perilaku umi. Tiba-tiba sahaja umi meninggikan suaranya. Kepalaku semakin berdenyut-denyut. Rasa sakit mula menjalar. Pandanganku semakin berpinar-pinar. Suara umi dan walid sayup-sayup aku dengar.
                                                                    *****
“ Umi !!! Kenapa tak beritahu Anis yang Anis ni ada A.I.D.S. Kenapa??? ”
Aku  menangis teresak-esak setelah mengetahui kebenaran bahawa aku penghidap A.I.D.S. setelah terdengar perbualan walid dan umi bersama doktor yang merawatku di hospital. Aku tidak lagi mampu menahan sebak. Tidak pernah aku sangkakan bahawa aku merupakan penghidap penyakit jijik tersebut. Penyakit yang sinonim dengan golongan-golongan yang terlibat dengan dadah dan juga pergaulan bebas. Pada awalnya aku juga berasa keliru dan tertanya-tanya bagaimana gadis yang baru sahaja berusia sebelas tahun sepertiku menghidap penyakit jijik tersebut sedangkan aku tidak pernah terlibat dalam najis dadah apatah lagi pergaulan bebas. Sungguh aku keliru Ya Tuhan. Lutut ini kurasakan begitu lemah sekali sehingga aku jatuh terduduk. Umi memelukku. Walid mengusap-usap bahuku. Mereka cuba salurkan kekuatan kepadaku untuk tabah dalam menerima kebenaran yang nyatanya memeritkan buat gadis seperti aku.
Menurut  umi dan walid, aku disahkan menghidap penyakit A.I.D.S sejak aku berusia lapan bulan lagi. Waktu itu mereka juga sangat-sangat terkejut mengetahui kebbenaran itu. Tidak disangka, bayi yang diserahkan oleh sahabat baik mereka merangkap ibu kandungku mewarisi penyakit A.I.D.S.
Pada awalnya aku hilang arah. Takdir aku salahkan. Tuhan aku lupa. Bonda dan ayah yang tidak pernah aku kenal aku benci. Tambahan pula, teman-temanku mula meminggirkan aku setelah mengetahui kebenaran yang cuba walid dan umi tutup rapi selama ini. Hinaan dan cacian daripada teman yang aku kira sebagai keluarga terpaksa aku telan. Sakitnya Tuhan saja yang tahu. Meskipun begitu, umi dan walid selalu ada di sisiku. Mereka tidak pernah jemu sirami sisa-sisa hidupku dengan nasihat yang menjadikan aku kuat. Aku juga percaya setiap ujian yang Tuhan berikan kerana dia sangat menyayangi aku. Aku juga jadi yakin bahawa bonda dan ayah punya alasan untuk semua ini. Hatiku juga semakin tekad untuk mencari mereka untuk mendapatkan penjelasan daripada mereka . Rasa ingin tahu mula menebal di benak hatiku.
                                                                    *********
“ Fira… Boleh kita makan satu dulang sekali. Aku rindu nak makan sama-sama dengan engkau.”
Aku menghulur senyum kepada Fira namun dia masam mencuka. Tandanya dia tidak mahu. Jelingan dia berikan kepadaku.
“ Fira…. Apa salahnya kongsi makan dengan Anis tu. Umi tak suka kamu semua pinggirkan Anis. Umi tengok sekarang semakin menjadi-jadi perangai kamu semua ni. Bukan ke umi selalu  pesan bahawa kita semua satu keluarga. Susah senang kita sama-sama. Umi tak suka ada yang bermasam muka. ”
Umi mengeluh. Kesal. Rupa-rupanya umi memerhati aku dan teman-temanku dari awal lagi.
“ Fira tak suka dia umi. Fira tak suka! Kalau umi nak Fira kongsi makan dengan dia. Fira lebih baik tak makan. Fira tak nak bejangkit dengan dia umi. Fira tak nak. ”
Fira membentak. Aku dan umi terkedu. Wajah umi keruh.
“ Fira kenapa kurang ajar sangat ni. Umi tak pernah ajar Fira cakap macam tu. Bukan salah Anis untuk dilahirkan dalam keadaan begitu. Bukan pilihan dia. Lagipun penyakit Anis takkan berjangkit dengan kongsi makan sahaja. Fira tolonglah jaga perasaan Anis sikit. Dia perlukan sokongan dari kita semua bukannya cercaan. ”
Umi meraup-raup dadanya. Setitis air mata jatuh gara-gara mempertahankan aku. Sungguh dapat aku rtasakan bahawa umi begitu menyayangi aku.
“ Tak umi tak!!!!  Fira takkan dekat dengan pembawa A.I.D.S macam Anis!!! ”
Umi sudah tidak dapat menahan marahnya. Tangannya laju menampar Fira. Aku tahu umi tidak sengaja. Fira mula menangis dan berlari masuk ke dalam bilik. Aku serba salah. Semua ini berlaku gara-gara aku. Maafkan aku Fira.
                                                                 *********
Suasana sunyi sepi. Semuanya sudah masuk tidur. Aku mencapai beg galasku yang dihadiahkan umi dan walid tempoh hari dan berjalan perlahan-lahan menuju ke rak pakaianku. Beberapa pasang pakaian milikku aku capai dan muatkan ke dalam beg galasku. Selesai mengemas pakaianku, aku menuju ke kamar walid dan umi. Perlahan-lahan pintu aku buka. Wajah umi dan walid aku tatap dari jauh. Air mata mula membasahi pipiku.
‘ Umi…Walid….Maafkan Anis. Anis terpaksa pergi dari sini. Kehadiran Anis di sini hanya akan mengeruhkan keadaan. Anis pun tak nak teman-teman yang lain berjangkit dengan Anis. Maafkan Anis. Ini bukan tempat Anis. Terima kasih untuk kasih sayang yang kalian berikan. Anis sayang walid dan umi dunia akhirat. ’
Sempat aku bermonolog sebelum melangkah pergi. Sesungguhnya akan aku rindui wajah dua insan mulia tersebut. Akan aku rindui kedamaian teratak Qaseh Suci yang menyaksikan aku membesar  menjadi manusia sehingga kini. Terima kasih Qaseh Suci.
                                                                          ******
“ Mak cik… oleh saya minta kerja sini. Saya tak kisah berapa pun pak cik bagi. Saya nak cari duit untuk makan . ”
Aku mencuba nasib untuk meminta kerja kepada seorang peniaga makanan goreng dengan harapan aku diberi kerja. Aku sudah tidak mampu menahan lapar.
“ Maaflah dik, mak cik dah cukup pekerja ni. Maaf ya…”
Aku hampa. Ya Tuhan permudahkanlah jalanku. Sesungguhnya hanya padamu aku berserah dan memohon pertolongan.
“ Dik! Dik!!! Sekejap. ”
Aku memalingkan semula kepalaku setelah dipanggil mak cik tersebut.
“ Ambillah, ni mak cik sedekah. ”
Mak cik tersebut menghulurkan sebungkus makanan bergoreng dan sebungkus air kepadaku. Bibirnya mengulum senyum. Aku membalasnya. Ya Allah terima kasih kerana tidak henti-henti engkau hantarkan insan-insan berhati mulia kepadaku.
“ Terima kasih mak cik! ”
Syukur. Demikianlah perasaan aku tika ini. Langkah aku buka sambil mataku melilau-lilau mencari tempat sesuai untuk duduk makan makanan yang diberi mak cik tersebut. Aku duduk di kaki lima kedai yang lagi tutup. Lega rasanya dapat berehat seketika. Bungkusan plastik tadi segera aku buka dek rasa lapar yang kian memuncak. Sedikit demi sedikit aku jamah. Air jagung aku hirup. Segar sungguh aku rasa lebih-lebih lagi dalam cuaca terik ini.
“ Adik… Boleh mak cik minta sikit makanannya… Mak cik lapar sangat. Dah dua hari mak cik tak makan. ”
Suara seorang wanita yang tiba-tiba mendekatiku buat aku kaget. Wajahnya aku pandang. Timbul rasa kasihan dalam hatiku. Keadaan uzur wanita tersebut buat aku sayu. Badannya penuh dengan kudis-kudis bernanah. Dek rasa simpati aku terus menghulur bungkusan makanan tersebut bkepada wanita di hadapanku ini. Aku tersentuh melihat kerakusan wanita ini menjamah makanaan seolah-olah sudah lama dia tidak makan. Makanan tersebut pula dihabiskan dengan begitu cepat. Wanita tersebut memandangku. Dia mengulum senyum.
“ Terima kasih dik…”
Redup  senyuman itu. Aku membalas senyumannya.
“ Sama-sama mak cik .”
Wanita itu bangun dan berlalu pergi.
                                                                          ******
Malam terasa begitu dingin sekali lebih-lebih lagi aku hanya tidur beralaskan kotak dan berselimutkan baju-baju yang ada di dalam beg galasku. Begini rupanya hidup sebagai gelandangan. Begitu menyeksakan. Tuhan beri aku kekuatan. Rasa tidak selesa membuatkan mata tidak mampu ku pejam. Aku duduk bersandar. Keadaan sekeliling aku perhati. Segelintir gelandangan sudah lena dalam mimpi mereka dan ada juga yang belum tidur. Pandanganku terhenti tatkala melihat wanita yang siang tadi meminta makananku. Wanita ini sedang mengurut-urut dadanya. Sesekali dia memuntahkan isi perutnya. Aku jadi simpati dan mendekati wanita tersebut. Aku cuba membantunya mengurut-urut bahagian belakangnya. Biar lega.. Setelah aku lihat dia sedikit lega aku memapah wanita tersebut untuk duduk bersandarkan bangunan kedai yang telah tutup.
“ Terima kaasih dik…” Perlahan sahaja tutur wanita tersebut.
Aku senyum. “ Sama-sama mak cik…Em.. Mak cik boleh saya tanya? ”
“Ya dik tanyalah…” Wanita itu membalas senyumku.
“ Mak cik sakit ke? ” Serba-salah aku ingin bertanyakan soalan tersebut namun akhirnya keluar juga pertanyaan tersebut dari mulutku.
“ Mak cik ada A.I.D.S dik…” Wanita tersebut seolah-olah tenang menuturnya sedang aku yang mendengar jawapannya sudah kaget.
“ Kenapa dik… Jijik dengan mak cik ya?” Dia menutur bicara lagi.
“ Tak mak cik… Sa..Saya cuma terkejut. ” Aku tergagap-gagap menjawab soalannya. Aku hairan. Bagaimana dia boleh setenang ini? Tidakkah dia tahu bahawa penyakit ini tiada ubatnya?
“ Mak cik faham kalau kamu terkejut. Mak cik dah pasrah dengan nasib mak cik.”  Dia tersenyum hambar. Aku yakin ada cerita di sebalik senyumnya.
“ Apa maksud mak cik? ” Aku terus menyoalnya. Rasa ingin tahu. Entah kenapa.
“ Dari dulu sampai sekarang mak cik hidup dalam kegelapan dik. Mak cik berhenti sekolah untuk kahwin dengan lelaki pilihan mak cik sehingga  dibuang keluarga. Lepas kahwin pula mak cik kena jual dengan suami sendiri. Jadi pelacur. Sampaikan mak cik mengandung pun tak tahu anak siapa." Keruh wajah wanita di sebelahku. Intonasinya begitu sebak namun air matanya bagaikan sudah kering. Aku begitu tersentuh mendengar cerita hidupnya. Ternyata ada lagi insan yang lebih susah dari aku.
“ Jadi… Mana anak mak cik? ” Soalku lagi.
“Mak cik bagi kat kawan baik mak cik dik memandangkan mak cik tak mampu jaga dia. Lepas serahkan anak mak cik pada mereka, mak cik dah tak pernah tahu apa nasibnya. ” Kali ini aku lihat wanita ini nangis teresak-esak. Aku kira dia rindu kepada anak kandungnya. Sayu hatiku mendengar kisah pahit wanita tersebut.
                                                             ******
Tidurku terganggu dek suria yang mula bersinar. Mata mula aku buka. Aku duduk. Wanita semalam sudah tiada. Barangkali sudah pergi mencari makan. Hon kenderaan yang membingit begitu mengejutkan aku. Aku lihat sebuah van yang dipandu agak laju menuju ke arah seorang wanita yang sedang melintas jalan. Kelibat wanita tersebut aku nampak. Itu wanita semalam. Aku bingkas bangun dan berlari ke arah wanita tersebut. Niat hati ingin menyelamatkannya namun  tiba-tiba rasa sakit mula menjalar ke seluruh tubuhku.
“ Anis!!!!!!” Suara insan yang amat aku rindu sayup-sayup kedengaran. Umi!. Ingin sekali aku jawab aku begitu merindukannya namun aku tidak mampu kerana rasa sakit yang teramat sangat.
“ Liya!!! Ini  Aishah….. Kawan baik Liya!!! ” Aku dengar pula suara walid memanggil umi.

“Ya Allah!!!Subhanallah!!! Liya!!! ” Umi meraung. Tangisannya semakin menjadi-jadi. Aku hanya mampu menyaksikannya. Badanku semakin tidak bermaya. Pandanganku mula kabur. Syahadah aku ucap di dalam hati.

Saturday, April 18, 2015

' Hitam '

Bila ditanya,
Apakah impian aku dalam hidup,
Aku jawab,
Aku mahu jadi pelakar seni dalam hidupku,

Kenapa aku pelakar seni?
Kerana akulah pelakar jalan hidupku,
Hidup yang mahu aku hiasi dengan sejuta warna,
Biar aku bisa megah,
Bukan dihina dan dicaci,
Seperti hari ini.

Duduk aku di sudut terpencil di dunia,
Lihat anak kecil dimanja bonda,
Saksi anak remaja diberi ilmu,
Gegendang telinga terpukul dek tawa mereka,
Terkesan kornea dek warna-warni dicipta mereka.

Ditanya lagi,
Kenapa aku  hanya pemerhati,
Mana  perginya impian,
Impian untuk jadi pelakar seni,

Wahai manusia!
Sudah aku lakar dengan sebaik-baik lakaran,
Sudah aku lukis dengan sebaik-baik material,
Namun lakaran dan lukisan tersebut umpama tanah terbiar,
Ingin sekali aku warna dengan tujuh warna pelangi,
Tangan ini terketar-ketar,
Tidak aku mampu,
Kerana kalian semua yang memberi warna tersebut,
Warna hitam!

Salahkah aku dilahirkan begini,
Dilahirkan dengan virus sebati dalam darahku,
Virus yang kadangkala membuat aku berasa hina,
Apatah lagi di hadapan umum,
Tohmahan demi tohmahan dilontar,
Sejak hari pertama aku melihat dunia,
Seakan-akan aku manusia paling hina di muka bumi.

Wahai manusia!
Bukan aku pinta lahir begini,
Siapa harus ku salahkan,
TUHAN?!
Tidak sekali!
Kerana dia aku masih bernafas hingga detik ini,
IBU?AYAH?
Mana perginya kalian dikala satu dunia membenci aku,
Apa yang harus aku lakukan wahai ibu dan ayah,
Apa yang harus aku lakukan wahai manusia?

Ya  Tuhan,
Kuatkan aku
Dampingi aku dalam sisa-sisa hidupku,

Terangi aku dalam hitam yang diciptakan mereka.

My Love From Another Star (Bab 1)

“ Ayah… Kenapa adik tak boleh duduk dengan ayah,mama dengan kakak? Kenapa suruh adik duduk dengan mak tua? ”
Aku bertanya kepada ayah yang lagi asyik membelai-belai lembut rambut lurusku. Aku lihat senyuman kelat terukir pada bibir ayah.
“ Adik… Kenapa tanya macam tu…Tak suka duduk dengan mak tua ke? Adik kan kena jaga mak tua dengan bapak. Selalu kan ayah cakap berbakti dengan orang tua tu satu amalan mulia. ”
Jawapan yang sama ayah berikan tiap kali aku mengajukan soalan yang lebih kurang sama. Aku memasamkan muka. Ayah mengelus lembut bibir aku. Dia peluk aku dalam dakapnnya.
“ Kawan adik selalu tanya kenapa adik duduk dengan atuk dan nenek? Kenapa tak duduk dengan ayah dengan mama? Bila adik cakap adik nak jaga mak tua, dia orang semua cakap entah-entah adik ni anak angkat. ”
Air mata aku sudah mula tumpah. Aku mencebik bibir.
“ Kenapa cakap macam ni. Sayang jangan lah nangis. Adik bukan anak angkat. Adik anak ayah. Adik duduk sini sebab ayah percaya adik boleh tengok-tengokkan mak tua dengan bapak. Adik boleh jaga dia orang dengan baik. Adik kan anak kesayangan ayah.”
Ayah cuba memujukku seperti biasa. Aku masih hanyut dalam esakan tangisku. Mahu mengeluarkan kata, hanya esakan yang terzahir. Aku inginkan kehidupan normal seperti kanak-kanak lain. Aku iri hati dengan kakak. Kakak dapat duduk dengan ayah dan mama sedangkan aku dihantar untuk menetap bersama datuk dan nenek. Tiap hari ayah hantar kakak ke sekolah Bandar. Aku hanya ke sekolah kampung dihantar oleh atukku. Tiap hari kakak terima peluk cium mama sebelum ke sekolah sedangkan aku hanya menumpang kasih seorang nenek dan atuk. Itu semua satu diskriminasi buat aku. Aku sering kali bertanya namun jawapan yang aku terima tidak pernah memuaskan hati.
“ Zif…. Mak rasa eloklah kalau kamu berterus terang dengan Arisa… Mak rasa tak adil untuk dia kalau kamu dan Zira terus buat Risa macam ni. ”
Aku dengar suara mak tua yang datangnya entah dari mana. Terus terang? Apakah yang dimaksudkan oleh mak tua. Hatiku berdegup kencang. AKu mula tidak sedap hati.
“ A…Apa mak tua cakap. Risa tak faham… ”
Tergagap-gagap aku mengeluarkan kata dek sedu yang masih bersisa.
“ Tak sayang… Mak tua tak maksudkan apa-apa… Adik jangan fikir macam-macam. ”
Ayah menepuk-nepuk belakangku. Dia mengukir senyum. Dia mengelap air mataku dengan jari jemarinya.
“ Ayah buat macam ni sebab adik tak pandai belajar ke? Sebab adik selalu dapat nombor last dalam kelas ke? Sebab tu mama tak layan adik macam layan kakak? Macam tu? ”
Sebaris ayat terluncur keluar dari bibirku. Aku sudah tidak dapat menanggung sebak di dada yang telah aku pendam selama sepuluh tahun aku hidup bernafas di bumi ini. Aku rasakan ini semua tidak adil buat aku. Bukan aku minta dilahirkan bodoh. Bukan aku minta dilahirkan tidak tahu membaca. Bukan aku malas nak belajar. Aku cuba jadi pandai namun aku tak mampu. Otak aku bebal sangat. Tapi bebal macam manapun aku, tak adil kalau aku terus dipinggirkan mama, ayah dan kakak.
“ Arisa… Bukan macam tu sayang… Ayah sayang Arisa sangat-sangat. Tak kiralah anak ayah ni pandai ke tak pandai. ”
Ayah memeluk aku. Erat. Aku tenggelam dalam tangisan. Aku lihat mak tua bangun menuju ke biliknya dari ekor mataku. Tidak lama kemudian mak tua keluar dengan sesuatu dalam genggamannya.
“ Arisa… Mak tua dah tak sanggup nak bersubahat dengan ayah kamu ni lagi. Rasa berdosa. Kamu layak mengetahui kebenaran. ”
Ini kali pertama aku lihat mak tua serius. Wajahnya nampak ketat.
“Mak…. Jangan mak…. ”
“ Kamu diam Zif… Mak dah tak tahan tengok kezaliman kamu ni. Kau tahu kau lelaki dayus. Kau abaikan tanggungjawab kau. Kau lari dari tanggungjawab kau. Bukan mak berkira untuk jaga Arisa. Dia cucu mak dunia akhirat Zif. Tapi mak dah tak tahan dengar dia selalu bertanya. Kenapa, kenapa dan kenapa. Mak dah tak tahan Zif. ”
Aku keliru. Muka mak tua aku lihat merah padam seperti menahan amarah. Ayah sudah tertunduk kaku. Dia meraup-raup rambutnya dengan. Wajahnya gelisah.
“ Risa… Tengok ni….”
Aku mengambil huluran sekeping kertas yang dihulurkan mak tua. Gambar lama. Gambar seorang wanita cantik berambut panjang. Tapi kenapa mak tua memberikan gambar ini kepada aku. Jantungku berdegup pantas. Ada sesuatu yang aku rasa tak kena.
“ Siapa ni mak tua? ”
“ Tanya ayah kamu…”
Tanya ayah? Kenapa tanya ayah sedangkan mak tua yang memberikan foto itu kepada aku. Aku memandang ayah yang lagi tunduk.
“ Arisa… Tu ibu kandung kamu… ”
Sebaris kata yang keluar dari mulut ayah buat kepala lututku bergetar-getar. Sungguh aku tidak mampu berkata melainkan mendengar penjelasan ayah dan mak tua. Hanya air mata menemani aku tatkala kebenaran disingkap satu persatu. Tuhan… Aku harap ini semua mimpi.

Sekarang aku tahu kebenaran itu. Kebenaran yang ditutup rapi sejak aku dilahirkan lagi. Baru aku tahu aku sebenarnya bukan anak kandung mama sebaliknya aku anak kandung ayah bersama isteri keduanya yang dinikahi secara rahsia tanpa pengetahuan sesiapa. Rahsia itu terpaksa dibongkar sendiri oleh ayah apabila wanita bernama Aina Hannan yang merupakan ibu kandung yang baru aku kenali meninggal dunia sewaktu melahirkan aku. Demi menutup malu keluarga, ayah dan mama memalsukan identiti aku di pusat pendaftaran negara. Dengan itu tertera nama ibu kandungku Nazirah Aisya bukannya Aina Hannan. Aku rasa seperti mahu menjerit. Mana perginya pengadilan buat insan bernama Aina Hannan. Ibu, tubuhmu dikubur bersama dengan fakta-fakta yang disembunyikan manusia yang aku panggil ayah. Maafkan aku ibu kerana aku hanya mampu mendengar. Tak termampu insan sekerdil aku mahu bangkit menuntut keadilan buatmu.  Ya Tuhan rupa-rupanya selama ini ibu kandungku sudah menghadapMU. Ayah! Kenapa baru hari ini kau ceritakan semuanya kepada aku. Timbul sejuta pertanyaan dalam benak fikiranku hinggakan aku jadi lemas. Gelap.