“ Mama! Ana
nak yang tu…”
Jerit seorang
anak gadis kecil yang menggelarkan dirinya Ana sambil mulutnya dimuncungkan
dengan kakinya dihentak-hentakkan di atas lantai. Keletah manja tersebut
menggamit aku menyaksikannya. Suka benar aku melihat anak-anak dimanja bonda
dan ayahanda hinggakan kadangkala aku dapat merasakan bahawa akulah insan yang
dimanja. Bibirku mengukir senyum tatkala bonda anak gadis tersebut memandang
aku. Dia membalas senyumku. Syahdu rasanya. Rasa rindu kepada bonda yang tak
pernah aku lihat apatah lagi kenal mula mengusik jiwaku. Sebak yang aku rasa
membuatkn air mata mula bertakung di korneaku.
“ Mama!!! Dengar tak Ana cakap ni…Mama sibuk tengok
sana tu kenapa!!! ”
Aku lihat anak gadis tersebut membentak-bentak
bondanya gara-gara bondanya tidak menuruti kemahuannya. Bonda kepada anak gadis
tersebut sedikit kaget dan menuruti kehendak anak gadisnya. Mampu aku rasakan
kasih sayang seorang ibu. ‘ Kalau aku berada di tempat saudari, tidak sekali
aku menyakiti hati seorang insan yang bergelar ibu ’. Sempat lagi aku
bermonolog menyaksikan peristiwa ini.
Sesungguhnya aku rindukan bonda.
Langkah kembali ku atur tanpa tujuan. Bahang sang
mentari semakin mencucuk-cucuk. Tekak terasa kering sekali. Perut mula berkeroncong.
Mahu sahaja aku beli makanan namun sesen pun aku tidak punya. Rasa menyesal
pula aku lari dari teratak Qaseh Suci yang selama ini menjadi tempat aku
berlindung dan tempat aku menumpang kasih wanita mulia yang aku panggil umi.
Teratak Qaseh Suci banyak berbudi kepadaku meskipun terlalu banyak kenangan
pahit tersimpan di sana. Terlalu banyak hingga tidak mampu aku telan lagi dan
perkara tersebut menjadi sebab utama aku meninggalkannya.
******
“
Umi!!! Kami semua tidak mahu berkongsi makanan dengan Anis. Jijik! Nanti
berjangkit pula penyakit dia dengan kami semua. ”
Demikianlah cacian yang acap kali aku terima
daripada teman-temanku di teratak Qaseh Suci yang aku kira mereka bukan sahaja
teman namun keluarga buat insan sepertiku. Hati sudah kebal dengan hinaan. Mulut sudah bisu hendak
mempertahankan diri. Air mata sudah kering hendak dititiskan.
Pada awalnya sebelum mereka semua mengetahui bahawa
aku menghidap penyakit A.I.D.S. ,kami bagaikan isi dengan kuku. Berkongsi
segala-galanya. Makan, minum, tidur, dan juga cerita. Hidup bergantung antara
satu sama lain memandangkan kami semua senasib. Tidak punya keluarga dan
dibuang keluarga. Kami sama-sama berkongsi kasih umi dan walid . Umi dan walid
umpama ibu dan ayah kandung kami. Kasih yang dicurah tidak pernah berbelah
bagi. Mereka dua insan berhati mulia. Mereka sanggup mengambil kami semua untuk
tinggal bersama dan dilayan seperti keluarga sendiri. Kami diberi didikan agama
dan duniawi secukupnya meskipun kadangkala mereka terpaksa menebalkan muka
untuk meminta bantuan agensi kerajaan dan swasta untuk menyara kami semua.
Hari itu telah mengubah segala-galanya. Hari yang
membuatkan aku tahu tahu mana asal-usulku. Hari di mana bermulanya detik suram
dalam hidupku dan hari yang takkan mampu aku lupakan.
“ Umi!!! Walid!!! Anis jatuh tangga! Kepala Anis
berdarah…. ” Jerit Fira setelah melihat kepalaku berlumuran darah setelah
terjatuh. Semua teman-temanku mendekatiku. Semuanya kelihatan risau dengan
keadaanku. Fira pula panik dan mengelap darah di kepalaku dengan bajunya namun
darah semakin banyak keluar. Umi dan walid tergopoh-gopoh berlari mendekati
aku. Aku lihat umi segera menarik teman-temanku yang lain untuk menjauhiku. Kit
pertolongan cemas yang tergantung pada dinding segera umi capai. Sepasang
sarung tangan diserahkan kepada walid
untuk dipakai. Umi nampak panik.
“ Fira!!! Buka baju tu sekarang dan pergi mandi
sekarang.Yang lain juga mandi sekarang!!! ”
Jerit umi kepada teman-temanku yang lain sambil
tangannya terketar-ketar mengenakan sarung tangan. Mereka terkedu kerana inilah
kali pertama umi meninggikan suaranya. Dalam terpaksa aku lihat teman-temanku
yang lain menjauhiku. Khuatir umi marah lagi gamaknya. Aku juga hairan dengan
perilaku umi. Tiba-tiba sahaja umi meninggikan suaranya. Kepalaku semakin
berdenyut-denyut. Rasa sakit mula menjalar. Pandanganku semakin berpinar-pinar.
Suara umi dan walid sayup-sayup aku dengar.
*****
*****
“ Umi !!! Kenapa tak beritahu Anis yang Anis ni ada
A.I.D.S. Kenapa??? ”
Aku menangis
teresak-esak setelah mengetahui kebenaran bahawa aku penghidap A.I.D.S. setelah
terdengar perbualan walid dan umi bersama doktor yang merawatku di hospital.
Aku tidak lagi mampu menahan sebak. Tidak pernah aku sangkakan bahawa aku
merupakan penghidap penyakit jijik tersebut. Penyakit yang sinonim dengan
golongan-golongan yang terlibat dengan dadah dan juga pergaulan bebas. Pada
awalnya aku juga berasa keliru dan tertanya-tanya bagaimana gadis yang baru
sahaja berusia sebelas tahun sepertiku menghidap penyakit jijik tersebut
sedangkan aku tidak pernah terlibat dalam najis dadah apatah lagi pergaulan
bebas. Sungguh aku keliru Ya Tuhan. Lutut ini kurasakan begitu lemah sekali
sehingga aku jatuh terduduk. Umi memelukku. Walid mengusap-usap bahuku. Mereka
cuba salurkan kekuatan kepadaku untuk tabah dalam menerima kebenaran yang
nyatanya memeritkan buat gadis seperti aku.
Menurut umi
dan walid, aku disahkan menghidap penyakit A.I.D.S sejak aku berusia lapan
bulan lagi. Waktu itu mereka juga sangat-sangat terkejut mengetahui kebbenaran
itu. Tidak disangka, bayi yang diserahkan oleh sahabat baik mereka merangkap
ibu kandungku mewarisi penyakit A.I.D.S.
Pada awalnya aku hilang arah. Takdir aku salahkan.
Tuhan aku lupa. Bonda dan ayah yang tidak pernah aku kenal aku benci. Tambahan
pula, teman-temanku mula meminggirkan aku setelah mengetahui kebenaran yang
cuba walid dan umi tutup rapi selama ini. Hinaan dan cacian daripada teman yang
aku kira sebagai keluarga terpaksa aku telan. Sakitnya Tuhan saja yang tahu.
Meskipun begitu, umi dan walid selalu ada di sisiku. Mereka tidak pernah jemu
sirami sisa-sisa hidupku dengan nasihat yang menjadikan aku kuat. Aku juga
percaya setiap ujian yang Tuhan berikan kerana dia sangat menyayangi aku. Aku
juga jadi yakin bahawa bonda dan ayah punya alasan untuk semua ini. Hatiku juga
semakin tekad untuk mencari mereka untuk mendapatkan penjelasan daripada mereka
. Rasa ingin tahu mula menebal di benak hatiku.
*********
*********
“ Fira… Boleh kita makan satu dulang sekali. Aku
rindu nak makan sama-sama dengan engkau.”
Aku menghulur senyum kepada Fira namun dia masam
mencuka. Tandanya dia tidak mahu. Jelingan dia berikan kepadaku.
“ Fira…. Apa salahnya kongsi makan dengan Anis tu.
Umi tak suka kamu semua pinggirkan Anis. Umi tengok sekarang semakin
menjadi-jadi perangai kamu semua ni. Bukan ke umi selalu pesan bahawa kita semua satu keluarga. Susah
senang kita sama-sama. Umi tak suka ada yang bermasam muka. ”
Umi mengeluh. Kesal. Rupa-rupanya umi memerhati aku
dan teman-temanku dari awal lagi.
“ Fira tak suka dia umi. Fira tak suka! Kalau umi
nak Fira kongsi makan dengan dia. Fira lebih baik tak makan. Fira tak nak
bejangkit dengan dia umi. Fira tak nak. ”
Fira membentak. Aku dan umi terkedu. Wajah umi
keruh.
“ Fira kenapa kurang ajar sangat ni. Umi tak pernah
ajar Fira cakap macam tu. Bukan salah Anis untuk dilahirkan dalam keadaan
begitu. Bukan pilihan dia. Lagipun penyakit Anis takkan berjangkit dengan
kongsi makan sahaja. Fira tolonglah jaga perasaan Anis sikit. Dia perlukan
sokongan dari kita semua bukannya cercaan. ”
Umi meraup-raup dadanya. Setitis air mata jatuh
gara-gara mempertahankan aku. Sungguh dapat aku rtasakan bahawa umi begitu
menyayangi aku.
“ Tak umi tak!!!!
Fira takkan dekat dengan pembawa A.I.D.S macam Anis!!! ”
Umi sudah tidak dapat menahan marahnya. Tangannya
laju menampar Fira. Aku tahu umi tidak sengaja. Fira mula menangis dan berlari
masuk ke dalam bilik. Aku serba salah. Semua ini berlaku gara-gara aku. Maafkan
aku Fira.
*********
*********
Suasana sunyi sepi. Semuanya sudah masuk tidur. Aku
mencapai beg galasku yang dihadiahkan umi dan walid tempoh hari dan berjalan
perlahan-lahan menuju ke rak pakaianku. Beberapa pasang pakaian milikku aku
capai dan muatkan ke dalam beg galasku. Selesai mengemas pakaianku, aku menuju
ke kamar walid dan umi. Perlahan-lahan pintu aku buka. Wajah umi dan walid aku
tatap dari jauh. Air mata mula membasahi pipiku.
‘ Umi…Walid….Maafkan Anis. Anis terpaksa pergi dari
sini. Kehadiran Anis di sini hanya akan mengeruhkan keadaan. Anis pun tak nak
teman-teman yang lain berjangkit dengan Anis. Maafkan Anis. Ini bukan tempat
Anis. Terima kasih untuk kasih sayang yang kalian berikan. Anis sayang walid
dan umi dunia akhirat. ’
Sempat aku bermonolog sebelum melangkah pergi.
Sesungguhnya akan aku rindui wajah dua insan mulia tersebut. Akan aku rindui
kedamaian teratak Qaseh Suci yang menyaksikan aku membesar menjadi manusia sehingga kini. Terima kasih
Qaseh Suci.
******
******
“ Mak cik… oleh saya minta kerja sini. Saya tak kisah
berapa pun pak cik bagi. Saya nak cari duit untuk makan . ”
Aku mencuba nasib untuk meminta kerja kepada seorang
peniaga makanan goreng dengan harapan aku diberi kerja. Aku sudah tidak mampu
menahan lapar.
“ Maaflah dik, mak cik dah cukup pekerja ni. Maaf
ya…”
Aku hampa. Ya Tuhan permudahkanlah jalanku.
Sesungguhnya hanya padamu aku berserah dan memohon pertolongan.
“ Dik! Dik!!! Sekejap. ”
Aku memalingkan semula kepalaku setelah dipanggil
mak cik tersebut.
“ Ambillah, ni mak cik sedekah. ”
Mak cik tersebut menghulurkan sebungkus makanan
bergoreng dan sebungkus air kepadaku. Bibirnya mengulum senyum. Aku
membalasnya. Ya Allah terima kasih kerana tidak henti-henti engkau hantarkan insan-insan
berhati mulia kepadaku.
“ Terima kasih mak cik! ”
Syukur. Demikianlah perasaan aku tika ini. Langkah
aku buka sambil mataku melilau-lilau mencari tempat sesuai untuk duduk makan
makanan yang diberi mak cik tersebut. Aku duduk di kaki lima kedai yang lagi
tutup. Lega rasanya dapat berehat seketika. Bungkusan plastik tadi segera aku
buka dek rasa lapar yang kian memuncak. Sedikit demi sedikit aku jamah. Air
jagung aku hirup. Segar sungguh aku rasa lebih-lebih lagi dalam cuaca terik
ini.
“ Adik… Boleh mak cik minta sikit makanannya… Mak
cik lapar sangat. Dah dua hari mak cik tak makan. ”
Suara seorang wanita yang tiba-tiba mendekatiku buat
aku kaget. Wajahnya aku pandang. Timbul rasa kasihan dalam hatiku. Keadaan uzur
wanita tersebut buat aku sayu. Badannya penuh dengan kudis-kudis bernanah. Dek
rasa simpati aku terus menghulur bungkusan makanan tersebut bkepada wanita di
hadapanku ini. Aku tersentuh melihat kerakusan wanita ini menjamah makanaan
seolah-olah sudah lama dia tidak makan. Makanan tersebut pula dihabiskan dengan
begitu cepat. Wanita tersebut memandangku. Dia mengulum senyum.
“ Terima kasih dik…”
Redup senyuman itu. Aku membalas senyumannya.
“ Sama-sama mak cik .”
Wanita itu bangun dan berlalu pergi.
******
******
Malam terasa begitu dingin sekali lebih-lebih lagi
aku hanya tidur beralaskan kotak dan berselimutkan baju-baju yang ada di dalam
beg galasku. Begini rupanya hidup sebagai gelandangan. Begitu menyeksakan.
Tuhan beri aku kekuatan. Rasa tidak selesa membuatkan mata tidak mampu ku
pejam. Aku duduk bersandar. Keadaan sekeliling aku perhati. Segelintir
gelandangan sudah lena dalam mimpi mereka dan ada juga yang belum tidur.
Pandanganku terhenti tatkala melihat wanita yang siang tadi meminta makananku.
Wanita ini sedang mengurut-urut dadanya. Sesekali dia memuntahkan isi perutnya.
Aku jadi simpati dan mendekati wanita tersebut. Aku cuba membantunya mengurut-urut
bahagian belakangnya. Biar lega.. Setelah aku lihat dia sedikit lega aku
memapah wanita tersebut untuk duduk bersandarkan bangunan kedai yang telah
tutup.
“ Terima kaasih dik…” Perlahan sahaja tutur wanita
tersebut.
Aku senyum. “ Sama-sama mak cik…Em.. Mak cik boleh
saya tanya? ”
“Ya dik tanyalah…” Wanita itu membalas senyumku.
“ Mak cik sakit ke? ” Serba-salah aku ingin
bertanyakan soalan tersebut namun akhirnya keluar juga pertanyaan tersebut dari
mulutku.
“ Mak cik ada A.I.D.S dik…” Wanita tersebut
seolah-olah tenang menuturnya sedang aku yang mendengar jawapannya sudah kaget.
“ Kenapa dik… Jijik dengan mak cik ya?” Dia menutur
bicara lagi.
“ Tak mak cik… Sa..Saya cuma terkejut. ” Aku
tergagap-gagap menjawab soalannya. Aku hairan. Bagaimana dia boleh setenang
ini? Tidakkah dia tahu bahawa penyakit ini tiada ubatnya?
“ Mak cik faham kalau kamu terkejut. Mak cik dah
pasrah dengan nasib mak cik.” Dia
tersenyum hambar. Aku yakin ada cerita di sebalik senyumnya.
“ Apa maksud mak cik? ” Aku terus menyoalnya. Rasa
ingin tahu. Entah kenapa.
“ Dari dulu sampai sekarang mak cik hidup dalam
kegelapan dik. Mak cik berhenti sekolah untuk kahwin dengan lelaki pilihan mak
cik sehingga dibuang keluarga. Lepas
kahwin pula mak cik kena jual dengan suami sendiri. Jadi pelacur. Sampaikan mak
cik mengandung pun tak tahu anak siapa." Keruh wajah wanita di sebelahku.
Intonasinya begitu sebak namun air matanya bagaikan sudah kering. Aku begitu
tersentuh mendengar cerita hidupnya. Ternyata ada lagi insan yang lebih susah dari
aku.
“ Jadi… Mana anak mak cik? ” Soalku lagi.
“Mak cik bagi kat kawan baik mak cik dik
memandangkan mak cik tak mampu jaga dia. Lepas serahkan anak mak cik pada
mereka, mak cik dah tak pernah tahu apa nasibnya. ” Kali ini aku lihat wanita
ini nangis teresak-esak. Aku kira dia rindu kepada anak kandungnya. Sayu hatiku
mendengar kisah pahit wanita tersebut.
******
******
Tidurku terganggu dek suria yang mula bersinar. Mata
mula aku buka. Aku duduk. Wanita semalam sudah tiada. Barangkali sudah pergi
mencari makan. Hon kenderaan yang membingit begitu mengejutkan aku. Aku lihat
sebuah van yang dipandu agak laju menuju ke arah seorang wanita yang sedang
melintas jalan. Kelibat wanita tersebut aku nampak. Itu wanita semalam. Aku bingkas bangun
dan berlari ke arah wanita tersebut. Niat hati ingin menyelamatkannya namun tiba-tiba rasa sakit mula menjalar ke seluruh
tubuhku.
“ Anis!!!!!!” Suara insan yang amat aku rindu
sayup-sayup kedengaran. Umi!. Ingin sekali aku jawab aku begitu merindukannya
namun aku tidak mampu kerana rasa sakit yang teramat sangat.
“ Liya!!! Ini
Aishah….. Kawan baik Liya!!! ” Aku dengar pula suara walid memanggil
umi.
“Ya Allah!!!Subhanallah!!! Liya!!! ” Umi meraung.
Tangisannya semakin menjadi-jadi. Aku hanya mampu menyaksikannya. Badanku
semakin tidak bermaya. Pandanganku mula kabur. Syahadah aku ucap di dalam hati.
No comments:
Post a Comment